Ulusan

Tentang cara fikir yang herot

ULASAN | “Jakim hendaklah memperbetulkan konsep Rahmatan lil Alamin dan hifz ad-din dengan mengambil kira pandangan ulama yang muktabar dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah”.

Demikian kata seorang pemimpin PAS dalam ucapannya di Kongres Maruah Melayu (KMM) baru-baru ini.

Tanpa menyatakan di mana salahnya gagasan itu, tak semena-mena dia menggesaan supaya pembetulan itu dibuat. Ia kira-kira ibarat orang buta yang menjeritkan amaran kepada orang celik bahawa adanya lubang di depan mereka.

Dalam keadaan begitu, dapat dihidu niat pemimpin PAS berkenaan, kerana pada perenggan yang lain ada disebutkan tentang isu liberal.

Beberapa ketika sebelum itu pun, pemimpin PAS terbabit melabelkan gagasan Rahmatan lil Alamin sebagai gagasan liberal, tidak menepati Islam dan pelbagai herotan sebutan bertujuan mempersenda, seperti rambutan lil alamin, rahmatan lil kafirin dan banyak lagi.

Memang sejak sekian lama dulu pemimpin PAS berasa merekalah yang lebih Islam berbanding pihak lain. Jika sekolah, sekolah mereka akan ‘lebih Islam’ daripada sekolah pihak lain.

Bahkan jubah dan serban pun mereka rasa lebih Islam daripada jubah dan serban orang lain.

Bertolak daripada premis apa sahaja, sesuatu yang berkaitan dengan mereka akan dianggap lebih Islam berbanding pihak lain. Justeru, demikianlah tanggapan mereka terhadap gagasan Rahmatan lil Alamin.

Kerana tak tepati pemikiran

Bagi PAS, apa saja “Islam” yang dibawa oleh pihak selain mereka akan dianggap sama ada sekular atau liberal.

Bahkan, jika kerajaan PH menggunakan slogan Membangun Bersama Islam sekali pun, ia akan dianggap tidak Islam, walaupun ia sama dengan slogan negeri yang ditadbir mereka.

Percayalah, jika Rahmatan lil Alamin ini mereka yang memperkenalkannya, gagasan ini tidak akan dilabel liberal bahkan akan tercanang sebagai sesuatu konsep berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Hal sebegitu bukan cakap-cakap kosong. Cuba perhatikan cara fikir PAS dalam isu orang bukan Islam. Jika orang bukan Islam itu bersama mereka – biar pun jelas menolak hudud – ia bukan kafir harbi.

Sebaliknya orang bukan Islam yang tidak bersama PAS – walaupun berbicara soal hudud dalam versi yang berlainan dengan mereka – akan dilabel kafir harbi.

Demikianlah halnya dengan Rahmatan lil Alamin. Gagasan itu sudah betul tetapi lantaran herotan pemikiran pemimpin PAS, mereka mendesak ia “diperbetulkan”, gara-gara tidak menepati gaya berfikir mereka.

Analoginya begini: Kelantan PAS anggap negeri Islam kerana mereka yang perintah. Biarpun tahap kebersihan bandar Kota Bharu, longkangnya, sistem parkirnya, ia bukanlah negeri yang boleh dibanggakan. Bandar itu menjadi “Islam” kerana adanya kuliah di tengah bandar dan ayat al-Quran bergema melalui pembesar suara dari surau berdekatan. Itu bagus.

Sebaliknya, bagi mereka, bandar Melaka bukan negeri Islam sebab ia tidak ditadbir oleh PAS. Padahal tahap kebersihan bandarnya dan sistem salirannya lebih baik.

Lantaran kerana tiada kuliah di tengah bandar, atau tidak pasangan bacaan al-Quran, bandar Melaka tidak dianggap sebagai bandar raya Islam.

Gagasan tak salah

Ringkasnya, orang lain buat – walaupun lebih baik dan menepati Islam – itu bukan Islam. PAS buat – walaupun tidak sebaik perkara yang orang lain mampu buat – akan jadi lebih Islam. Sebab, kononnya hanya PAS pembawa Islam sebenar. Orang lain, bukan.

Ya, kami sedar, gagasan Rahmatan lil Alamin belum lengkap dan jauh daripada sempurna. Namun, jika dikata gagasan itu menggelinciri Ahli Sunnah wal Jamaah, ia adalah tuduhan yang tercetus daripada mulut yang bersambung dengan otak yang berfikiran serong.

Ia adalah lambang pemikiran seseorang atau sekelompok yang berasa diri mereka lebih suci dan lebih mulia daripada pihak lain.

Rahmatan lil Alamin sudah berada di atas landasan yang betul. Gagasan ini sedang bergerak menuju destinasinya dengan bekalan bahan api yang mencukupi.

Sekali-sekala ia tersemput-semput, itu adalah perkara biasa. Proses memastikan gagasan ini bergerak lancar sedang berjalan dengan dukungan semua pihak.

Hanya pemimpin PAS yang tidak senang dengan gagasan ini lantaran ia bukan datang daripada mereka. Gagasan ini tidak salah, tetapi cara berfikir pemimpin PAS yang herot.


ZOLKHARNAIN ABIDIN ialah pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah dan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).