Sukan

Skuad hoki perlu fokus layak ke Olimpik 2020 – Agong

ang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu skuad hoki kebangsaan tidak memikirkan kembali kegagalan layak ke Sukan Olimpik Rio 2016, sebaliknya lebih fokus untuk beraksi pada edisi 2020 di Tokyo.

Al-Sultan Abdullah bertitah pasukan di bawah bimbingan ketua jurulatih Roelant Oltmans itu perlu memenangi dua aksi ‘play-off’ kelayakan temasya 2020 bertemu pasukan Great Britain di Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley, London, pada 2 dan 3 November ini.

Seri Paduka bertitah menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat skuad negara layak beraksi di temasya sukan terbesar itu, dan baginda mendoakan agar kemenangan berpihak kepada Malaysian Tigers, sekali gus layak bersaing di Olimpik Tokyo 2020.

“Saya harap semua pemain akan terus berusaha.

“Pastikan semua cukup cergas…makan cukup. InsyaAllah, bila terbang (berlepas ke London) nanti, kamu semua bermain untuk negara, bermain untuk seluruh rakyat Malaysia dan tidak lupa untuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Santapan Hi-Tea Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Pasukan Hoki Negara di Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua disambut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Subahan Kamal.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah yang pernah menjadi Presiden KHM dari 2008 hingga 2015, juga merancang menjemput atlet kebangsaan yang lain bagi menghadiri program seumpama itu dalam tempoh baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Saya memang menantikan hari ini…menjemput atlet ataupun pemain kebangsaan. Bukan sahaja pasukan hoki.

“Namun hari ini, agak istimewa. Untuk pengetahuan semua, pasukan ini adalah yang pertama datang ke Istana Negara untuk majlis jamuan teh bersama saya,” titah baginda.

Untuk rekod, Great Britain di bawah bimbingan Danny Kerry akan dibarisi pemain pasukan di ranking ketujuh dunia England, Wales (18) dan Scotland (19) sementara skuad kebangsaan kini menghuni ranking ke-11 dunia.

Kali terakhir Malaysia beraksi pada temasya sukan terbesar dunia itu adalah pada Sukan Olimpik Sydney 2000.

– Bernama