Sukan

Dodgeball: Malaysia sukar pertahan kejuaraan buat kali ketiga

Pasukan Dodgeball Malaysia yang pernah meraih kejuaraan peringkat antarabangsa mungkin tidak dapat mempertahankan kemenangan itu buat kali ketiga pada pertandingan di Mexico, November ini, kerana kekangan kewangan.

Setiausaha Agong Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Yeo Wai Tat berkata, pasukan yang pernah memenangi perlawanan kategori lelaki di Las Vegas, Amerika Syarikat (2018) dan di Toronto, Kanada (2017) ingin mempertahankan kejuaraan itu namun mereka menghadapi masalah dari aspek kewangan.

“Bantuan dari segi kewangan tak ada. Satu kekangan yang kita hadapi adalah tajaan wang tunai untuk perlawanan itu,” katanya semasa temu bual eksklusif bersama Malaysiakini, pada Isnin lalu.

Turut hadir ketika temubual itu adalah Ketua Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan Gopal Raman, Timbalan Presiden Mad, Ramona Yuen, Naib Kapten Pasukan Malaysia, Teh Wee Seng dan penyelaras acara Firdaus Nasrullah Mohd Rijal.

Yeo berkata, kos perbelanjaan yang diperlukan bagi menampung seramai 24 pemain, dua jurulatih dan seorang pegawai khas media Mad untuk ke Amerika dianggarkan berjumlah RM200 ribu.

“Tak termasuk latihan. Jumlah ini diperlukan hanya untuk menampung perbelanjaan dari segi penginapan, tiket penerbangan dan makanan ketika berada di sana,” katanya.

Disoal mengenai sumbangan dari Kementerian Belia dan Sukan, katanya, sebelum ini kerajaan memang memberikan bantuan berjumlah RM30 ribu, namun sumbangan itu tidak mencukupi.

“Kita dah hantar surat dan kertas kerja, tetapi KBS belum beri maklum balas. (Sebelum ini), dia (kerajaan) bagi – cuma RM30 ribu untuk menghantar seramai 28 orang ke perlawanan itu sangat sedikit,” katanya.

Mengulas lanjut, Yeo berkata isu kekurangan dana adalah disebabkan sukan dodgeball tidak diiktiraf sebagai sukan teras (core sports), malah sukan ini kurang dikenali ramai.

“Kita kena buang pemikiran dodgeball bukan sebagai sukan teras kerana kita ada pencapaian (di peringkat antarabangsa).

“Kalau menang kali ini, akan jadi sejarah sebuah negara (Malaysia) menang tiga kali berturut-turut. Inilah peluang kita untuk pasarkan nama negara kita,” katanya.

Selain rekod cemerlang pasukan pasukan lelaki Malaysia, pasukan wanita negara pula menjadi naib juara di Las Vegas, Amerika Syarikat (2018), juara di Toronto, Kanada (2017).

Pada tahun 2016, pasukan wanita adalah juara manakala pasukan lelaki menjadi naib juara apabila pertandingan diadakan di Melbourne, Australia. Kedua-dua pasukan itu menduduki kedua di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 2015.

Kejohanan dodgeball 2019 pula bakal berlangsung di Cancun, Mexico bermula 26 November hingga 1 Disember. Mereka sepatutnya bertolak ke negara itu mulai 21 November. Malaysia bakal bersaing dengan beberapa negara lain dalam perlawanan itu seperti Hong Kong, New Zealand dan Iran.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan ulasan daripada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim mengenai status permohonan Mad untuk mendapatkan sumbangan yang telah dihantar sejak Februari lalu.